Wednesday, May 17, 2006

Penilian yang lebih Wajar

Sistem peperiksaan diubah -- Tumpu penilaian seimbang kemahiran pelajar selain akademik
Oleh: RAJA ZUHA KAMAL dan SAZAKI ABDUL RAHMAN
PETALING JAYA 17 Mei - Sistem peperiksaan nasional yang kini terlalu `menyeksakan' dengan mata pelajaran yang banyak akan diubah.
Menurut Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) antara perubahan itu adalah:
* Kemungkinan bilangan mata pelajaran wajib dalam sistem peperiksaan berpusat akan dikurangkan bagi memberikan tumpuan seimbang kepada penilaian berteraskan sekolah (school-based assessment).
* Ujian Keupayaan Umum (GAT) yang diamalkan di negara-negara luar akan diguna pakai di negara ini bagi menilai kebolehan dan kemahiran pelajar selain keputusan akademik.
Ia adalah sebahagian daripada reformasi menyeluruh sistem pendidikan kebangsaan dengan menamatkan konsep penilaian pembelajaran berorientasikan peperiksaan seawal-awalnya tahun 2010.
Pengarah Peperiksaan LPM, Datuk Dr. Adi Badiozaman Tuah berkata, bagi mencapai matlamat itu, pihaknya kini sedang menyediakan rangka kerja untuk dibincang bersama di beberapa peringkat pendidikan termasuk ibu bapa, guru dan pelajar.
Menurut beliau, maklum balas yang diperoleh daripada pelbagai pihak terbabit kemudiannya dibincang hingga ke peringkat kementerian termasuk merujuk kepada badan-badan peperiksaan di luar negara.
``Kertas cadangan kemudian akan diserahkan untuk dipertimbangkan oleh Kementerian Pelajaran dan kerajaan sebelum akhir tahun ini,'' katanya pada sidang akhbar sempena pelancaran Persidangan Pentaksiran Antarabangsa Kuala Lumpur (KLICA), di sini hari ini.
Persidangan tersebut dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Hon Choon Kim bagi mewakili Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Persidangan empat hari itu yang bermula semalam merupakan inisiatif LPM dan Kementerian Pelajaran mengumpulkan input berguna bagi menjana kecemerlangan pelajar melalui sistem pentaksiran bersifat insaniah.
Sementara itu, Hishammuddin dalam ucapan yang dibaca oleh Choon Kim berkata, kementeriannya sedang mencari pendekatan terbaru dan paling sesuai bagi menilai prestasi pelajar tanpa bergantung sepenuhnya kepada peperiksaan.
Pendekatan tersebut katanya, bertujuan mengenal pasti potensi dan keupayaan pelajar selain kecemerlangan mereka dalam bidang akademik.
Menurut beliau, dengan menggunakan sistem penilaian yang kurang berorientasikan peperiksaan, kemajuan, kekuatan serta kelemahan pelajar dapat dikenal pasti dengan lebih menyeluruh.
Bagi mencapai matlamat itu, katanya, GAT dilihat sebagai satu pendekatan terbaik berbanding sistem ujian pencapaian berpusat yang digunakan hari ini.
``GAT berupaya menilai potensi pelajar dan kebolehan mereka mengguna pakai apa yang dipelajari di sekolah,'' kata Hishammuddin.
Di samping itu, penilaian menggunakan GAT diharap dapat membantu menilai potensi pelajar secara menyeluruh dengan membina profil keupayaan intelek pelajar.
Dalam pada itu, Adi Badiozaman menambah, sistem peperiksaan berpusat perlu diseimbangi sistem penilaian berteraskan sekolah supaya gambaran lebih menyeluruh dan holistik dapat dilihat mengenai keupayaan akademik, pencapaian sosial dan perwatakan pelajar.
Beliau berkata, sistem pentaksiran yang dicadangkan bukan bertujuan untuk mengurangkan mata pelajaran wajib dalam sistem peperiksaan berpusat kerana ia masih penting sebagai standard pencapaian pelajar di negara ini.
``Anjakan LPM melibatkan perubahan dari padasatu sistem kecil kepada satu sistem yang lebih besar dan menyeluruh.
``Ini akan menukar pandangan masyarakat tentang pembangunan budaya ilmu,'' katanya.

Sumber : Utusan Online

0 Comments:

Post a Comment

<< Home